Sepanjang tempoh saya di sekolah dan IPG ini, saya melalui pelbagai pengalaman pahit manis dalam persahabatan yang menjadikan saya lebih matang dan berpengalaman. Lebih-lebih lagi setelah lebih dari 10 tahun tinggal di asrama. Haha! Di sini saya ingin kongsikan tips yang saya amalkan tentang bagaimana untuk mengekalkan persahabatan. Sekadar pendapat saya ye.=)
- Tidak terlalu rapat dengan seseorang. Contohnya, kita ke sana ke mari hanya dengan sahabat itu sahaja. Sebabnya, jika terlalu rapat dengan seseorang itu, sahabat yang lain sukar untuk mendekati kita.
- Jangan mengaibkan sesama rakan. Contohnya, si A menceritakan perihal si B kepada si C. Kemudian, apabila si A berjumpa si B pula, dia mengaibkan si C. Apapun, tak eloklah. Apa perasaan kita pula kalau kita diaibkan oleh rakan kita? Sedih dan kecewa kan?
- Jangan terlalu ego. Dengan kata lain, kita perlulah saling mengalah dan memaafkan. Lebih-lebih lagi kalau sudah terang ianya merupakan kesilapan kita. Minta maaflah.. Kalaupun sahabat itu tak mahu memaafkan kita, sekurang-kurangnya kita dah minta maaf dengan seikhlas hati..=)
- Jangan kedekut untuk memuji. Siapa yang tak sukakan pujian kan? Katakanlah si sahabat memakai baju baru hari ini. Tak salah kita memuji. Pujilah dengan ikhlas, sekurang-kurangnya kita peka terhadap sahabat kita tu. Kalau malu nak puji pun, beritahu macam ni, "Wah, awak pakai baju baru hari ini!" Senang saja kan? Hehe..
- Cemburu tak salah, tapi biarlah cemburu yang positif dan bertujuan untuk memajukan diri kita. Katakanlah sahabat kita tu sangat cerdik dan selalu mendapat markah cemerlang dalam peperiksaan. Kita cemburu tanda kita ambil berat tentang pelajaran kita. Jadi, tingkatkanlah prestasi diri. Jangan pula kita bermusuh dengan kawan kita tu. Minta tips kejayaan dari dia.
- Senyuman itu penting! Sentiasa murah dengan senyuman, jangan murah dengan kemasaman di muka. Tapi ingat, jangan menipu diri sendiri. Kalau kita ada masalah, berterus-teranglah kepada sahabat bahawa kita mempunyai masalah. Taklah dia tertanya-tanya, "Kenapa muka dia masam je hari ini? Marah pada akukah?" Kesian sahabat itu..
- Jangan mementingkan diri sendiri. Mungkin kita mendapat sahabat yang mementingkan diri, tapi kita jangan begitu. Tunjukkanlah contoh yang baik di hadapan sahabat kita itu. Suatu hari nanti, dia akan sedar akan sifat tak eloknya itu dan mengubahnya.
Inilah tips mengekalkan persahabatan dari saya. Ya, kita bukanlah sempurna. Saya sendiri penuh dengan kekhilafan, tapi sama-samalah kita berusaha agar persahabatan sentiasa terpelihara.
Lagipun, memang senang untuk mendapatkan sahabat berketawa gembira, tapi sukar untuk mendapatkan sahabat yang mampu bersama kita sewaktu kita mengalami masalah atau kesusahan.
Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-55 ya..=)
._.
No comments:
Post a Comment
Jemput datang lagi yaa...^__^