Followers

Monday, September 28, 2009

Bermulanya Petempatan Di Gunung Singai

Sebelum adanya petempatan di Gunung Singai, penduduk tinggal di kaki gunung ataupun secara berselera ataupun berkelompok di tepi sungai di bawah gunung. Pada masa itu, Tanah Melayu masih di bawah jajahan British sementara negeri Sarawak pula masih di bawah pemerintahan Rajah Brooke.

Menurut orang tua-tua, terdapat tiga sebab mengapa penduduk berpindah dan membina petempatan di Gunung Singai :
1. Penduduk di kawasan tersebut melarikan diri dari musuh. Musuh yang dikatakan ialah para askar dari Tanah Melayu yang datang bertugas ke Sarawak. Mereka sering memeras ugut dan meminta makanan daripada penduduk kampung. Selain itu, askar-askar tersebut sering menipu penduduk di situ sehingga menimbulkan kemarahan penduduk dan mengakibatkan peperangan antara mereka. Setelah askar-askar tersebut tewas dan kembali ke Kuching, penduduk kampung telah berpakat untuk melarikan diri ke Gunung Singai dan membina petempatan di situ.
2. Permusuhan dengan orang Melayu. Pada masa itu, orang Melayu sering datang ke perkampungan menggunakan sampan untuk mendapatkan pertukaran padi, ikan masin dan garam dengan sebatang rod besi/bijih timah. Pada masa itu, orang Bidayuh tidak pernah mengenali apa itu besi dan bijih timah. Apabila orang Melayu mahu bertukar dengan makanan, mereka terima sahaja rod besi tersebut kerana mereka menganggap besi/bijih timah tersebut merupakan barangan berharga. Namun, apabila sudah kerapkali bertukar barangan, orang Bidayuh mulai sedar bahawa besi/bijih timah yang ditukar dengan padi tidak membawa sebarang faedah. Mereka mula tidak mahu bertukar barangan dengan kaum Melayu yang mahu bertukar barangan. Mereka juga meminta kembali padi yang mereka serahkan dan mengembalikan rod besi/bijih timah tersebut. Keengganan orang Melayu menimbulkan kemarahan kaum Bidayuh sehingga menyebabkan pergaduhan. Kedua-dua kumpulan tersebut bermusuh. Untuk mengelakkan berlakunya lagi pergaduhan, orang Bidayuh berpakat untuk meninggalkan petempatan asal mereka dan tinggal di Gunung Singai.
3. Penduduk takut dengan musuh yang memenggal kepala. Musuh-musuh yang melancarkan serangan dengan tujuan untuk mendapatkan kepala dan semakin banyak kepala yang mereka dapat, semakin berkuasalah mereka. Kepala tersebut akan disimpan dan dikumpul di baruk kawasan petempatan mereka. Musuh yang paling digeruni pada masa itu terdapat dua kumpulan. Satu kumpulan diketuai oleh Tirobung, dan satu kumpulan lagi diketuai oleh Bisopung. Mereka sering menyerang kawasan perkampungan penduduk di situ dan merampas makanan serta harta benda. Bukan itu sahaja kejahatan yang mereka lakukan, malah mereka turut memenggal kepala beberapa penduduk dan membawa kepala mereka pulang. Mereka digelar penyamun dan berbangsa Bidayuh yang tinggal di tempat yang jauh serta mempunyai bahasa yang tidak difahami. Setelah penyamun tersebut memenggal kepala orang, penduduk kampung akan menyanyikan pantun. Antara contoh pantun mereka ialah;
“Siburit jikeh tobuh potod togang de rimang ba’ai,
Jaat negeh jowin te di te poya mamuh ngan te ninga srata dayung nagai.”
Penterjemahan :
“Kerengga memanjat tebu patah-patah di kawasan pokok sirih,
Hodoh muka kita sebab tiada masa mandi semata-mata nak melihat
perempuan musuh.”

Jadi, punca perpindahan penduduk dari keliling gunung tersebut ke Gunung Singai adalah untuk melarikan diri daripada serangan musuh dan demi keselamatan diri serta nyawa. Mereka berpindah ke gunung secara beramai-ramai. Dan mereka memilih Gunung Singai kerana gunung tersebut yang paling tinggi di antara 2 lagi gunung di situ, iaitu Gunung Muoi dan Gunung Srabu. Gunung Singai juga dikatakan strategik kerana terletak berdekatan dengan petempatan asal dan senang juga untuk menyembunyikan diri daripada musuh kerana kawasan gunung yang berbukit-bukau dan berhutan tebal.

1 comment:

  1. im from singai too..btw the third theory is the one more accurate ^^

    ReplyDelete

Jemput datang lagi yaa...^__^

Blog Terbaik!!!^__^