Bruno merupakan anjing keluarga saya. Selepas kejadian cubaan untuk mencuri motosikal di luar rumah, mak saya mula mencari anak anjing orang untuk dipelihara. Akhirnya, bermulalah kehidupan Bruno sebagai anjing penjaga di rumah kami.
Kalau dulu, saya akan rasa tidak selamat. Maklumlah motosikal pernah dicuri sekali. Memang menyusahkan kami. Selepas sekian lama dan kami sudahpun memiliki motosikal baru, cubaan sekali lagi tetapi tidak berjaya.
Dengan adanya Bruno, sememangnya selamat. Apabila dengar sahaja Bruno menyalak, saya yakin pasti ada orang yang menghendap-hendap. Tapi hingga kini, rumah kami sentiasa dalam keadaan selamat. Bruno sangat setia. Anak-anak ayam tak dimakannya, tetamu yang datang ke rumah tak dikacaunya. Malah dia akan mendiamkan diri kalau tetamu datang ke rumah, melainkan pada waktu malam.
Semasa menaip kisah tentang anjing keluarga saya ni, air mata sudah menunggu untuk mengalir. Sebak sangat rasanya. Tengah hari tadi, adik saya SMS menyatakan,
Bruno sudah tiada.='(
Saya yakin adik saya menangis. Sedangkan Bruno sakit pada minggu lepas pun dia menangis. Sakitnya bermula pada pagi Jumaat. Malam Jumaat, Bruno menyalak dengan luar biasa, lebih lama daripada biasa. Dia dengan isterinya, Brenda (anjing yang menumpang makan di rumah kami) serta Jojo (anjing jiran) menyalak bersama-sama.
Keesokan paginya, ketiga-tiga mereka tidak bermaya. Anak mata Bruno terangkat ke atas, Brenda mengalami sesak nafas sementara Jojo mengalami muka bengkak. Saya balik ke rumah pada hari Sabtu, Bruno tiada di rumah. Petangnya, kami tiga beradik (abang tak balik) pergi mencari Bruno tetapi hampa. Bruno tak dijumpai.
Pagi Ahad, kelihatan Bruno terbaring lemah. Bapa saya memberinya minum madu dan makan panadol. Dia turut memberi harapan kepada kami bahawa Bruno akan sembuh. Jangan risau, katanya. Saya balik ke maktab, saya beritahu Bruno, "Lekas-lekas sembuh ya Bruno!" Saya yakin Bruno akan sembuh.
Tapi akhirnya Bruno pergi juga. Sedih rasa hati. Selepas ini, saya akan rasa tidak selamat lagi... Walaupun rumah kampung, tapi saya tetap rasa tak selamat. Apabila sudah ada pengalaman buruk, sampai bila-bila saya takut. Nak bangun tengah-tengah malam pun saya takut.
Bak kata seorang kawan, daripada Bruno menderita, elok lagi dia mati saja. Bruno, terima kasih atas jasamu. Kamulah anjing terbaik kami...
sedap nama bruno..
ReplyDeleteanjing ialah haiwan yang manja dan setia..tapi tidak boleh di pegang sebab anjing adlah najis mughalazzah
ReplyDelete