Followers

Tuesday, December 10, 2013

Cara Menguruskan Badan?

Sepanjang tempoh cuti sekolah ni, lemak di badan bertambah-tambah. Sebagaimana lemak di perut kucing kesayangan semakin bertambah, lelemak cinta juga membuak-buak. Macam dahsyat ja bunyinya. Hehe..

Oleh itu, saya telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kegemukan. Almaklumlah ahli keluarga saya ramai juga yang berisi sikit.. Hehe..

Langkah pertama, saya telah membeli basikal dan berbasikal setiap petang. Sekurang-kurangnya, peluh keluar dan stamina dapat ditingkatkan.

Kedua, saya menahan diri daripada mengambil nasi sewaktu makan malam. Makan tengah hari tu ada la.. Tapi nasi yang diambil, sekepal penumbuk. Sentiasa diamalkan. :)

Ketiga, saya banyak keluar berjalan-jalan.. Sekadar 'window shopping' bak kata orang.. Hehe.. Berjalan juga baik untuk kesihatan, di samping dapat mencuci mata. :p

Keempat, saya mengambil suplemen tambahan. Suplemen yang saya ambil sekarang ni ialah minyak kelapa dara jenama Catalyst. Saya mengambil 2 biji sejurus bangun pagi. Boleh tahan juga.. Melancarkan sistem perkumuhan..

Kelima, saya mengamalkan minum air kosong.. Air manis yang saya minum, hanyalah teh bercampur madu (pada waktu sarapan pagi) dan susu bercampur madu (sebelum tidur malam). Yang lain, saya hanya minum air kosong.

Dalam tempoh masa dua minggu ini, berat badan saya turun 2kg.. Kalau saya terus mengamalkan kehidupan macam ni, ok la tu kot.. Haha..

._.

Friday, December 6, 2013

Bercuti di Rumah!

Salam sejahtera.. Selamat bercuti kepada mereka yang bercuti, selamat bekerja kepada mereka yang bekerja dan selamat berhujung minggu kepada semua.. :)

Saya di rumah saja.. Meluangkan masa bersama keluarga.. Kalau rasa nak keluar 'window shopping', saya keluar bersama ibu tercinta. Bukan tak ada kawan, tapi kawan-kawan masih bekerja. Lagipun bukan selalu dapat keluar bersama ibu.. Hehe..

Saya juga seronok di rumah, dapat membelai dan menjaga kucing.. Comel sangat!




._.

Sunday, November 10, 2013

Blogger Malaysia Bantah AshleyMadison.com

Salam sejahtera..

Pagi ini juga saya dikejutkan dengan isu laman web yang mempromosikan budaya hidup berzina. Apa?? Bukan budaya kita untuk menyokong perkara macam tu. Setiap agama melarang umatnya berzina, cuma umatnya yang tak mematuhi larangan yang telah ditetapkan. Ya! Semua agama melarang umatnya berzina!

Saya mengetahui isu ini dari blog Eraz Fadli. Isu tersebut sudah sampai ke Singapura okey.. Dan bakal dilancarkan di sana.. Tapi saya dengar laman web tersebut telahpun digam. Baguslah. Jom kita sama-sama bantah! Klik banner di bawah untuk maklumat lanjut.

http://www.hasrulhassan.com/2013/11/blogger-malaysia-bantah-ashleymadison.html

._.

Anak-anak di Rumah

Salam sejahtera dan selamat pagi..

Pagi ini saya tiba-tiba saja merindukan kucing saya di rumah. Lebih-lebih lagi apabila mak saya kirim gambar kucing melalui MMS. Membuatkan saya tak sabar-sabar nak balik kampung. Tapi, sedih.. Saya tak dapat terus pulang ke kampung sebermulanya cuti nanti kerana saya pergi berkursus di Miri pula. Isk isk..

Jadi, anak-anakku di rumah, jangan nakal-nakal ya.. Tunggu mama pulang, mama akan 'dera' mu habis-habisan! Hihi..

Yang pakai stoking tu bernama Toran manakala yang berwarna hitam bernama Tiket. Kedua-duanya jantan tetapi Si Tiker mempunyai tabiat yang pelik. Toran pula biarkan saja, abang yang baik katakan.. Haha..

Berkira-kira nak beli smartphone baru? Mari kita lihat smartphone baru keluaran Sony dulu.. :)
 
http://www.xperiencez1.com/
Klik gambar untuk ke laman Sony
 ._.

Saturday, November 9, 2013

Bubur Kacang Tetap Rezeki!

Selamat pagi! :)

Kebelakangan ini saya memang sibuk dan jarang berada di rumah. Beberapa hari lepas, saya berkursus di luar. Balik rumah semalam. Masa nak masak nasi, saya lihat beras dah habis. Sedihnya rasa hati. Ada rakan serumah, mungkin dia lupa nak pesan kepada saya untuk membeli beras di pasar. Dia kerja sebagai tukang masak di dewan makan, boleh la dia makan nasi di situ saja. Hehe.. 


Tak apa. Fikir secara positif. Baru saya teringat, sebelum ini saya ada membeli kacang hijau. Saya beli semata-mata nak buat aiskrim. Haha.. Masih ada! Jadi untuk pagi ini, saya masak bubur kacang hijau. Kenyanglah juga.. Tengah hari nanti, entah nak makan apa. Nak ke pasar, leceh.. Ekspress tak ada. Guna perahu, tambangnya mahal. RM100.

Untuk beberapa hari terakhir sebelum cuti ni, mungkin saya akan menumpang kasih di mana-mana rumah orang yang sudi menerima saya. Oh ya, suami kepada kakak kerani di sekolah ni ada menjual burger. Boleh beli burger juga ke.. :p
 

Gambar di atas ini ialah gambar saya bersama ibu angkat saya. Saya balik kursus semalam, terserempak dengan ibu angkat bersama keluarga. Dia baik orangnya.. Setiap kali saya berkunjung ke rumah panjang, memang saya akan melawat ibu angkat saya ni.:)

._.

Friday, November 8, 2013

Segong's Handicraft, Gift and Souveniers


Salam sejahtera pembaca yang dihormati. :)
Di sini saya ingin berkongsi gambar-gambar hasil kraftangan masyarakat Orang Ulu yang dijual di sebuah kedai kraftangan. Kali pertama saya masuk ke dalam kedai ini, saya terpesona.. Warna-warni gitu!






Kedai ini menjual pelbagai jenis barangan, dari bersaiz kecil sehinggalah ke bersaiz besar. Semasa saya mula-mula masuk, terdapat sekumpulan pelawat dari Semenanjung. Beberapa orang wanita dilihat sedang tawar-menawar mengenai harga pakaian tradisional dengan tuan punya kedai. Harga memang boleh dirunding! :)
 





Selepas kedai dah agak lengang sikit, saya pula mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan tuan punya kedai. Ada sebab mengapa saya tertarik untuk berbual dengannya. Hehe.. 


Ini dia! Nama kedainya; SEGONG'S HANDICRAFT, GIFT AND SOUVENIERS. Segong merupakan nama kampung saya. Kampung saya terletak di Bau manakala kedai ini pula terletak di Bintulu! Apabila ditanya pada tuan punya kedai, rupa-rupanya kami sama kampung. Dia kacukan Bidayuh-Cina, bermastautin di Bintulu. Seronok juga bertemu dengan orang sekampung di tempat orang..


Selepas jalan-jalan dalam kedai tu, saya membuat keputusan untuk membeli parang panjang untuk bapa saya sebagai hadiah hari jadinya yang lepas. Tapi saya lupa nak ambil gambar parang tersebut kerana teruja sangat nak balut dan pos. Haha! 

Harganya selepas tawar-menawar, RM500. Siap dengan ukiran dan tanduk rusa sebagai hulu parang. Kalau parang yang sarungnya bermanik-manik, murah lagi.. Dalam RM300 macam tu. Tapi nampak 'ayu' pula..

 
 
Selain itu, saya juga membeli gelang manik untuk mak. Macam gambar kat atas ni juga, warna hijau putih. Harganya, RM60. Buatan sendiri. Cantik juga, buatannya kemas. 

Okay, selamat malam! :)

._.

Baju Warna Apa Hari Ini?

Salam sejahtera dan selamat pagi! :)

Awal-awal pagi saya menonton drama Korea yang bertajuk "My Girlfriend is a Gumiho". Sesiapa yang pernah menonton drama ni, pasti tahu jalan ceritanya memang menarik. Saya dah beberapa kali menonton drama ni.. Hehe.. Gambar di bawah ini merupakan salah satu babak yang lucu bagi saya.:p

Dae Woong (L) : Does this one look good?
Mi Ho (P) : Yes, this is the color of cows.
 
 Dae Woong (L) :Then this is the color of pigs, and this is the color of chickens?

Drama ini bukan hanya memaparkan kisah cinta, malah ada juga babak beraksi.. Tontonlah.. :)

._.

Thursday, November 7, 2013

TMK Tahun 4 2013

Salam sejahtera dan selamat pagi.

Mulai tahun hadapan, Tahun 4 akan didedahkan dengan mata pelajaran Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Apapun, pada pendapat saya arasnya terlalu tinggi.



Tak salah bercita-cita tinggi, tapi biarlah apa yang ingin dicapai itu mampu dilaksanakan. Haha.. Sepatutnya sediakan dulu kemudahan seperti komputer, barulah laksanakan program. 

Di sekolah pedalaman ni, tak semua budak pernah pegang komputer.. Komputer pun tak ada, takkan nak korbankan laptop sendiri kot? Huhu.. Biar ku menjadi lilin~~

._.

Saturday, November 2, 2013

Dua Minggu Lagi.. ^_^

Salam sejahtera dan selamat pagi..

Sedar tak sedar, kini sudah masuk bulan November. Bermakna saya ada masa dua minggu lagi untuk menikmati musim persekolahan dan seterusnya bercuti!^_^

Seronok menunggu cuti datang. Bukan apa, saya dah lima bulan tak kampung. Kali terakhir berada di kampung ialah pada bulan Jun yang lepas. Semalam ibu saya kirim gambar kucing saya melalui MMS. Gemuk! Semestinya seronok dipeluk! Tak sabar rasanya. Hihi..

Apapun, sepanjang cuti nanti saya pasti akan merindukan anak-anak murid saya. Tak kira yang saya ajar ataupun tidak. Semuanya saya layan sama rata. Semuanya saya sayang.. Dan jiwa saya terasa aman di sini. Dah dapat membiasakan diri di sini.:)

Anak-anak murid saya menunggu perahu untuk balik ke rumah panjang masing-masing.

Laluan yang perlu dilalui untuk ke pasar. Sampai sekarang saya masih takut-takut untuk turun ke tebing.. Tak biasa! Hehe..

Selamat berhujung minggu..^_^

._.

Monday, October 7, 2013

Musim Menanam Padi

Salam sejahtera dan salam perpaduan.. :)

Begitu lama saya tak mengemaskini blog kesayangan saya ni. Memandangkan saya sudah mempunyai Facebook sendiri, saya lebih seronok dan lebih leka membaca post kawan-kawan di Facebook. Saya akui, kebelakangan ini saya agak leka dengan Facebook. Huhu.. Perlukah saya deactivate saja Facebook saya tu supaya tak leka?

Malam ini saya ingin berkongsi gambar-gambar kami menanam padi. Pengalaman itu merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke tapak penanaman padi (saya tak tahu nak panggil apa; sebab kalau sawah, ianya merujuk kepada padi di tanah rendah. Hehe). Mereka menanam padi bukit. Ketinggian tempat menanam padi, boleh tahan juga. Berbukit-bukau! Dah namanya padi bukit kan?

Macam mana saya dengan rakan guru boleh 'terjebak' dengan aktiviti menanam padi ni? Kami diajak oleh orang kampung.. Hehe.. Seronok menjadi guru. Mendidik pernah, mengasuh pernah, menjadi kerani pernah, memukat pernah.. Sekarang bertani pula. Gambar ini saya simpan di blog ini sebagai kenangan.. ^_^

Menanam padi pada 16 September 2013
 
Penduduk kampung berdoa sebelum aktiviti menugal dan menanam padi. Jangan salah faham, semuanya beragama Kristian. Mereka bertudung untuk mengelakkan terik matahari.. :p

Cikgu Baktie bersama tuan punya tanah. :)

Kami menanam kira-kira 3 jenis padi/ beras.. :)

Cikgu Afiq, Cikgu Baktie dan Bapa Oney yang baik hati. :)

Saya bergambar dengan seorang tua yang masih mampu melakukan kerja.. Kagum!

Kami berehat sekejap. Yang berbaju kuning ialah jiran sebelah meja saya di bilik guru, Cikgu Hafizuddin. Minta maaf, gambar kepala terpotong pula.. Hihi..


Menanam padi pada 5 Oktober 2013

Wajah-wajah orang kampung yang peramah. :)

Kali ini lebih berbukit! Penat juga mendaki bukit.. Hehe..

Tuan punya tanah mengagihkan beras.

Menanam padi.

Tuan punya tanah bersama Cikgu Baktie. Kali ini, hanya saya dan Cikgu Baktie saja yang ikut orang kampung menanam padi.

Selesai sudah menanam padi. Kami balik dengan hati yang riang.. ^_^

Ya, saya gembira di sini. Suasana kampung yang tenang, anak-anak murid yang comel (terutamanya anak murid saya sendiri, Tahun Satu) dan mendengar kata serta rakan sekerja yang memahami. Sekian saja untuk malam ini. :)

._.

Thursday, August 8, 2013

Salam Raya dan Kenangan Lalu

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri buat kawan-kawan yang beragama Islam. :)

Liya masih ingat lagi.. Liya di IPG dulu, Liya selalu juga mengikut kawan-kawan Liya yang beragama Islam berpuasa. Walaupun tak puasa penuh sebulan tu, Liya berasa seronok. 

Seronok dapat merasa pengalaman berpuasa. Lebih-lebih lagi apabila kami ke bazaar ramadhan untuk membeli juadah berbuka puasa. Begitu banyak yang Liya ingin beli, tapi akhirnya Liya akan membeli ikan panggang sahaja kerana Liya memang gemarkan ikan panggang. Hehe..

Kalau bab bersahur, dengan hanya beberapa biji kurma sahaja Liya mampu bertahan. Ajaib! Melalui pembacaan dari beberapa artikel, Liya bersahur dengan hanya tujuh biji kurma. Sememangnya menakjubkan, Liya masih mampu melakukan kerja-kerja seperti biasa..

Di tempat Liya bekerja sekarang ni, pernah juga beberapa kali Liya berpuasa. Tapi tak la bersemangat sangat seperti semasa Liya di IPG. Mungkin disebabkan rakan-rakan Liya di sini semuanya bukan beragama Islam, jadi Liya kurang bermotivasi. 

Memang seronok berpuasa, lebih-lebih lagi kalau orang di sekeliling kita turut berpuasa seperti kita. Liya terfikir, begitu mencabarnya bagi umat Islam yang hidup di perantauan di mana sekelilingnya bukan beragama Islam. 

Ini sahaja pengalaman yang Liya ingin ceritakan. Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. :)

._.

Monday, August 5, 2013

Harry Potter dan Twilight


Salam sejahtera dan salam Ramadhan kepada rakan-rakan yang beragama Islam.. :)

Liya sudah lama tak buka blog, terutamanya semenjak Liya mula bekerja. Dua minggu bercuti di kampung ni, Liya mengambil kesempatan untuk mengemaskini blog kesayangan Liya. Hehe..

Hari ini, Liya bersama-sama adik perempuan dan dua orang sepupu Liya berjalan-jalan ke sekitar kawasan Kuching. Tak sah la kalau kami tak 'melawat' kedai buku. Satu kewajipan.. :p

Liya membeli Set Koleksi Terhad Siri Harry Potter (versi BM). Sebenarnya sudah lama Liya mengidamkannya, tetapi Liya pendamkan kerana terlalu mahal - RM200 lebih. 

Bagi Liya, harganya memang mahal kerana Liya masih belum bekerja masa tu. Tapi sekarang ni Liya sudah bekerja, betapa puasnya dapat memiliki koleksi buku tersebut!

Best kan? Hihi..

._.

Saturday, June 1, 2013

Bergawai Dengan Air Kelapa Muda


Nyaman~ Lebih-lebih lagi cuaca panas macam ni. Hari ini Hari Gawai, saya pula demam.. Jadi, bapa belahkan buah kelapa muda dan beri saya minum air kelapa tersebut. Yummy!^_^

._.

Friday, May 31, 2013

Selamat Sudah..

Helo!

Pada 26 hingga 30 Mei yang lepas, Liya bersama ibu dan ayah Liya berangkat ke Semenanjung Malaysia. Untuk pengetahuan semua, inilah kali pertama Liya menjejakkan kaki di tanah Semenanjung. Hehe..

Liya ke sana untuk berkonvo di PICC. Penat lelah belajar selama lima tahun setengah akhirnya terbayar juga, Liya kini sudah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian Pengajian Sosial Pendidikan Rendah.

Nampak tak? Kelas Kedua Atas. Kalaulah Liya tahu ada kelas-kelas macam tu, Liya akan belajar siang malam. Haha.. :p

Liya.. Seronok di sana. Malah belum puas jalan-jalan lagi. Lima hari di sana, Liya rasa tak mencukupi. Lain kali Liya nak pergi lagi ke sana. Liya nak kumpul duit banyak-banyak dulu. Sementara masih hidup membujang ni, Liya nak melawat negeri orang. Hehe..

._.

Saturday, May 18, 2013

Kerap Mengigau Tak?

Selamat pagi dan salam muhibah semua.. :)

Liya nak tanya, pernah mengigau tak? Liya ingin berkongsi dengan pembaca, Liya selalu juga mengigau sebenarnya.. Hihi.. Kadang-kadang mengigau bercakap, kadang-kadang ketawalah, adakalanya marah-marah dan pernah juga Liya menangis dalam tidur.. 

Mengigau merupakan perbuatan separa sedar yang kita lakukan semasa tidur. Mengigau ni boleh dikatakan mainan tidur. Jadi, kita tak boleh nak mengawal 'igauan' kita ni. Haha..

Dalam keluarga Liya, bapa Liya kuat mengigau. Begitu juga dengan adik perempuan Liya. Adik perempuan Liya tu lagi la teruk, sebab dulu dia pernah mengugau berjalan.. Ish.. Liya tak tahu, adakah mengigau ni merupakan 'penyakit keturunan'??

Orang kata, kita mengigau sebab tak basuh kaki sebelum tidur. Tapi Liya memang akan basuh kaki sebelum tidur tau.. Huhu.. Liya fikir, mungkin juga emosi seharian kita yang mempengaruhi 'igauan' kita tu.. Entahlah..

Liya buat entri pasal mengigau ni sebab Liya ada mengigau awal pagi tadi, pukul 3 lebih macam tu. Liya marah-marah sampai baling bantal.. Haha.. 

Selamat berhujung minggu!! ^^

._.

Friday, May 17, 2013

16 Mei Ini..

Selamat pagi dan Selamat Hari Guru buat warga pendidik di seluruh Malaysia.. Liya hadiahkan lagu untuk para pendidik ye.. Hihi..

Tajuk Lagu : 16 Mei Ini

Selamat Hari Guru 
Kuucapkan kepadamu
Guru yang kukasihi 
(Bahagian ini Liya lupa)
Pembentuk motivasi
Oh guruku

16 Mei ini 
Kami menadah tangan
Doa yang kupanjatkan
Limpahkan kemuliaan
Buat guru yang tersayang
Oh guruku

Maafkan kami
Andai kata kau terluka
Kami insan biasa
Yang mahu belajar

Pimpinlah kami
Mencaki mercu jaya
Mencapai satu wawasan 
Menjadi insan berguna

Untuk pengetahuan semua, Liya belajar lagu ini semasa di IPG.. Diajar oleh pensyarah kesayangan kami semua, Encik Muhaimi bin Suhaili. Beliau sememangnya pensyarah yang hebat kerana pelbagai ilmu dan motivasi yang beliau berikan kepada kami semua. Terima kasih Encik Muhaimi.. :)

Terima kasih kepada ibu Liya. Beliaulah guru pertama Liya. Beliau juga pernah mengajar Liya semasa Liya Tahun 6. Hehe.. Garang, terutamanya terhadap Liya.. Haha.. :p

Terima kasih juga kepada semua bekas guru Liya, dari Liya Tahun Satu sehinggalah Liya tamat pengajian di IPG. Liya sayang guru-guru Liya. Tanpa guru, Liya takkan dapat berdiri seperti sekarang ni..

Selamat Hari Guru buat rakan-rakan blogger juga di seluruh Malaysia. Liya doakan semoga hidup anda sentiasa bahagia, gembira dan sihat selalu di samping keluarga. 

Dan akhir sekali, Selamat Hari Guru buat diri Liya. Liya ingin bekerja keras untuk memajukan anak-anak murid Liya. Doakan yang terbaik buat Liya ok! :)

# Liya rasa Liya dah post dah entri ni, tapi entah kenapa boleh dalam draft pula. Penangan line lambat.. :(

._.

Monday, May 13, 2013

Nama dan Tugas Malaikat

Hai! Saya masukkan entri ini sekadar ingin berkongsi apa yang telah saya ketahui hari ini. Sebenarnya tadi, saya mencari sesuatu di Google dan terjumpalah satu artikel. Dan saya tertarik untuk berkongsi dengan anda semua.. Tentu semua dah tahu kan? Tak kisahlah, sebab saya memang tertarik.. ^_^

Apa yang membuatkan saya tertarik? Di bawah ini menunjukkan 10 malaikat dan tugas malaikat-malaikat tersebut. Ya, saya memang tertarik nak berkongsi.. Hehe..

  1. Malaikat Jibrail - Menyampaikan wahyu
  2. Malaikat Mikail - Menyampaikan rezeki dan menurunkan hujan
  3. Malaikat Israfil - Meniupkan sangkakala pada hari Akhirat
  4. Malaikat Izrail - Mencabut nyawa
  5. Malaikat Munkar - Menyoal mayat dalam alam kubur
  6. Malaikat Nakir - Menyoal mayat dalam alam kubur
  7. Malaikat Ridhwan - Menjaga pintu Syurga
  8. Malaikat Malik - Menjaga pintu Neraka
  9. Malaikat Raqib - Mencatat amalan baik manusia
  10. Malaikat Atid - Mencatat amalan buruk manusia

Rujukan : 1 dan 2
Ini sahaja. Sekadar perkongsian ya.. =)

._.

Sunday, May 12, 2013

Selamat Hari Ibu 2013

Hari ini Hari Ibu. 
Tapi Hari Ibu kali ini, saya berjauhan dari ibu saya..
Walaupun berjauhan, namun ibu sentiasa dekat di hati saya..

Saya sayang ibu..
Saya akan membalas jasa ibu..
Menjaga ibu..
Menyayangi ibu sepenuh hati saya..
Terima kasih ibu..
Begitu besarnya pengorbanan ibu..
Dari wujudnya saya..
Hinggalah berdirinya saya pada hari ini..
Semuanya kerana ibu yang saya sayang..
Saya minta maaf andai saya pernah menyakiti hati ibu..=(

Rasa rindulah pula pada ibu..
Huhu..
Ibu, Selamat Hari Ibu..
Gambar saya dengan ibu dalam express semasa ibu dan ayah menghantar saya ke Belaga..
._.

Jalan Cinta

Selamat pagi semua.. Bangun awal pagi tadi, saya terus teringatkan lagu yang dinyanyikan oleh Sherina, Jalan Cinta. Lagu ini ada dinyanyikan dalam filem Ayat-ayat Cinta. Best lirik dan lagunya.. Jom layan lirik lagu ini.. :)

Tajuk Lagu : Jalan Cinta

Semua resah hati manusiamu
Untuk membagi kisah atas nama cinta
Derai air mata di setiap sujudmu
S'perti tak pernah cukup untuk menjagaku
Jangan butakan hati menjadi 
Cinta yang semu.. Cinta yang semu..

Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di sela doa dalam malam-malam yang sunyi

Ampun yang engkau pinta dalam semua
Keraguan yang telah meliputi jiwamu
Semoga akan membawa cintamu
Pada diriku dalam jalan dan ridho-Nya
Jangan butakan hati menjadi 
Cinta yang semu.. Oo cinta yang semu..

Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di tengah terik matahari dan dinginnya malam

Kau panjatkan ayat-ayat cinta pada-Nya
Melindungi dan menjaga kisah kita

Kau hembuskan ayat-ayat cinta untukku
Di tengah terik matahari dan dinginnya malam

._.

Sunday, April 7, 2013

Sudah Tahu Di Mana Belaga?

Hello ~

Saya sekarang ni sedang melayari internet di SK Long Segaham, Belaga. Walaupun sekolah ini merupakan sekolah pedalaman, namun saya dapat menikmati kemudahan IT di sini.

SK Long Segaham, Belaga. Sebelum ini, saya kabur-kabur dan tak pernah mengambil tahu di mana letaknya Belaga. Nah, setelah mengalaminya sendiri, saya seronok pula. Hehe.. 

Untuk menjejakkan kaki di Belaga, kita ada dua laluan sama ada melalui melalui jalan darat ataupun jalan air. Kali pertama saya ke Belaga, saya memilih jalan darat. Ditemani oleh mak dan ayah saya. :)


Nah, ini dia laluan darat yang saya pilih. Dalam gambar ni, masih okey lagi. Belum lagi naik turun bukitnya, memang menyeronokkan. Menyeronokkan bagi saya la, tapi bukan bagi orang tua saya. Hehe..

Inilah kenderaan yang kami gunakan. :) *Yang berbaju kuning itu ialah guru besar SK Punan Bah.
Perjalanan dari Bintulu ke Belaga menggunakan laluan darat mengambil masa selama lebih kurang 5 jam. Tambangnya? RM50 seorang. Selalunya, kereta sewa tersebut bertolak pada waktu tengah hari dari Bintulu. Pukul 1 macam tu.

Sampai Belaga, pukul 6 petang. Kami bermalam dulu di Belaga. Jangan risau, ada hotel di Belaga dan harganya pula berpatutan. Kami menyewa bilik hotel yang cukup-cukup untuk kami, RM50 untuk satu malam.

Keesokan harinya, kita harus menunggu ekspress di jeti. Ekspress dari pasar Belaga ke SK Long Segaham hanya ada sekali sahaja dalam sehari, jadi kita harus menunggu awal. Ekspress dari Sibu itu sampai ke Belaga kira-kira pada pukul 2 petang.

Ekspress yang kami naiki
Perjalanan ke SK Long Segaham mengambil masa selama 30 minit. Kali pertama ke sekolah itu, sememangnya saya rasa berdebar-debar. Mampukah saya menjalankan tugas saya sebagai seorang guru nanti?

Kini sudah seminggu saya di sekolah ini. Sememangnya saya sungguh bersyukur... Pihak atasan yang prihatin, rakan sekerja yang memahami saya sebagai 'penyapu baru' (haha!), rakan serumah yang sentiasa mengambil berat serta anak-anak didik yang comel dan suci.. >_< 
Anak murid saya - Mary dan Garry (Tahun Satu). Saya guru kelas Tahun Satu..

Laluan kedua untuk ke SK Long Segaham ialah melalui jalan air. Tapi saya belum mengalaminya lagi. Kalau saya sudah alaminya, saya akan ceritakan di sini. Semoga berjumpa lagi. :)

._.   

Thursday, March 21, 2013

PISMP 2013


Selamat petang!

Ha, gambar di atas tu merupakan tawaran untuk adik-adik lepasan SPM. Sesiapa yang berminat untuk menjadi cikgu macam saya ni (chewah!), boleh la klik terus gambar di atas untuk maklumat lanjut.

Ingat! Tarikh tutupnya ialah pada 31 Mac 2013. Oleh itu, cepatlah bertindak mulai hari ini! Semoga berjaya ya.. :)

Peringatan, tawaran ini hanya untuk yang benar-benar berminat jadi cikgu. Oleh itu, kalau tak berminat, tak payah isi ya.. Jangan tutup peluang kawan-kawan kita yang lain yang benar-benar berminat untuk menjadi cikgu..

Cepat cepat sebelum terlambat!^_^

._.

Blog Terbaik!!!^__^